Melayu Gasar dan Rasisme

merahmarah

“Setinggi-tinggi kebencian untuk sekecil-kecil sebab.”

Pada hari ini aku akan menulis tentang betapa rasisnya melayu-melayu tipikal atau melayu-melayu gasar. Sebelum kamu semua meneruskan pembacaan ingin aku memperingatkan bahawa bukan pendapat kamu sahaja betul, orang lain juga punya pendapat dan diharap tidak ada yang cepat melatah, kerana jika kamu meletakkan komen berlandaskan nafsu, aku tidak akan meluangkan masa untuk melayan komen kamu. Sila komen jika kamu fikir kamu matang dan bertamadun.

Mereka Tidak Pernah Faham Budaya Kaum Lain

Amat jarang sekali kita akan berjumpa dengan melayu-melayu yang faham akan budaya masyarakat kaum lain di negara bertuah ini. Orang bukan Melayu tersedia tahu akan budaya masyarakat Melayu, mungkin kerana orang Melayu itu kaum majoriti dan sebilangan besar masyarakat bukan Melayu melalui sistem pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan. Tetapi itu tidak bermakna kaum Melayu mempunyai alasan untuk tidak mengapikkan budaya, pantang larang dan perayaan kaum-kaum lain di negara ini; tiada alasan. Kamu semua patut tahu, kerana kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum. Setakat Deepavali dan Chinese New Year, orang Putih pun tahu.

Pelancong Kawan, Kaum Lain Di Negara Sendiri Lawan

Sebilangan besar melayu-melayu gasar ini, berdasarkan pemerhatian aku di dalam gerabak-gerabak LRT mahupun KTM, jarang sekali dilihat mencetuskan perbualan kecil dengan kaum-kaum lain, malah jika diikutkan terdapat ramai daripada mereka yang lebih berminat untuk berbual dengan mat saleh berjambang kuning atau minah saleh blonde berbuah dada besar. Mungkin mereka mempunyai lebih daya penarik kerana mempunyai ciri-ciri fizikal yang cantik (berdasarkan fahaman orang Asia tentang kecantikan). Tetapi masalah ini bukan sahaja terdapat dalam kalangan melayu-melayu gasar sahaja, ia juga sering dilihat pada cina-cina gasar dalam pemerhatian aku. Tidak salah jika kamu semua ingin melatih penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol kamu bersama pelancong-pelancong berkulit putih, tetapi janganlah sehingga kamu mengabaikan saudara senegara kamu sendiri. Ada yang sesama kaum sendiri pun menarik muka, itu aku sungguh tidak faham.

Tidak Mahu Makan Di Restoran Bukan Melayu

Ini antara masalah yang aku paling tidak faham, kebanyakan melayu-melayu gasar ini tidak selesa makan di restoran-restoran kaum lain, katanya kotor, tidak halal, berbau colok dan bermacam-macam lagi alasan yang tidak munasabah dan berbaur rasis, walaupun restoran tersebut menyediakan makanan halal untuk orang Islam, bersih dan tidak berbau colok. Tetapi yang lebih menghairankan, melayu-melayu gasar ini amat selesa makan di restoran makanan segera seperti Mc DonaldsKFC dan Pizza Hut, tanpa mengetahui siapakah yang menggoreng serta menyediakan makanan mereka, boleh jadi pekerja beragama Buddha dari Myanmar atau penyokong Marxism dari Vietnam. Paling menghairankan, restoran mamak yang penuh dengan pekerja-pekerja Hindu senantiasa penuh dengan melayu-melayu gasar ini.

Tidak Belajar Bahasa Kaum Lain

Walaupun mereka ini selalu mengadu yang kaum-kaum tertentu sedang menipu atau mengutuk mereka dalam bahasa ibunda yang unik kepada kaum tersebut, mereka tidak pernah sekalipun cuba untuk belajar bahasa kaum lain, salah faham adalah ibu kepada masalah rasisme. Di masjid ustaz-ustaz mereka sering menekankan yang fitnah lebih teruk daripada membunuh, tetapi hampir setiap hari mereka tunduk kepada fitnah-fitnah kecil dari hati mereka. Walau bagaimanapun mereka masih menggunakan perkataan-perkataan carutan dalam bahasa ibunda kaum yang mereka kata mereka benci.

Sensitiviti Kaum

Melayu-melayu gasar ini sering mengajak kaum-kaum lain untuk menjadi lebih sensitif terhadap keperluan agama mereka, seperti tegahan untuk tidak memakan babi di hadapan mereka, tegahan untuk tidak meminum arak di hadapan mereka dan tidak makan atau minum ketika mereka berpuasa. Betul, ini semua berkait rapat dengan toleransi, tetapi toleransi antara kaum tidak berlaku dalam hubungan satu hala, kerana ia melibatkan lebih daripada satu kaum, kamu semua patut tahu kedua-dua pihak perlu menunjukkan toleransi untuk memastikan hubungan antara kaum tidak tercalar. Melayu-melayu gasar ini selalunya tidak mengendahkan keperluan agama sesuatu kaum lain, mereka tidak segan silu berzina di hadapan seorang paderi Katolik di taman-taman bunga atau taman-taman tasik di siang hari, mereka tidak segan silu memakan daging lembu di hadapan rakan-rakan Hindu mereka dan mereka juga tidak segan silu mencarut di hadapan sami-sami Zen. Apakah ini toleransi? Patutlah ramai kaum minoriti membenci kaum Melayu.

Berubahlah jika kamu seorang Melayu gasar, oleh kerana nila setitik akan rosak susu sebelanga.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s